Jumaat, Disember 18, 2009

Tepung keledek berpotensi dikomersialkan

ARKIB : 11/12/2009
Tepung keledek berpotensi dikomersialkan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar ASWAD YAHYA


Norani Sidek (kanan) bersama Prof. Saidatul Hisan menunjukkan tepung yang diperbuat dari keledek di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BIASANYA ubi keledek dimakan dalam bentuk gorengan, direbus atau bahan dalam kuih-muih sebagai hidangan sarapan pagi atau petang. Rasa keledek biasanya manis dengan kehadiran gula yang biasanya meningkat apabila direbus atau dimasak.

Bagaimanapun kanji merupakan bahan utama dan tepung boleh dihasilkan daripada keledek.

Kajian menunjukkan keledek kaya dengan Vitamin A dalam bentuk beta karoten dan sumber Vitamin C yang baik selain mempunyai ciri perubatan sebagai makanan antioksidan.

Kedua-dua beta-karoten dan Vitamin C merupakan bahan antioksidan yang berguna dan boleh memusnahkan radikal bebas.

Radikal bebas merupakan bahan kimia yang memusnahkan sel dan membran sel dan berkaitan dengan perkembangan atherosclerosis, penyakit diabetes dan kanser kolon.

Kajian menunjukkan warna kuning atau jingga dalam keledek disebabkan oleh kandungan beta-karoten.

Beta-karoten dalam keledek boleh digunakan untuk menghasilkan Vitamin A yang dinamakan Provitamin A.

Keledek ungu pula merupakan sumber terbaik antosianin dan mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi di kalangan varieti keledek.

Justeru sekumpulan pensyarah dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), menjalankan kajian mengenai keledek.

Kajian yang diketuai oleh Prof. Madya Norani Sidek bersama Prof. Madya Raja Saidatul Hisan Raja Datuk Sri Azam, Noradzhar Baba dan Sabaianah Bachok bagi menunjukkan keledek sesuai dijadikan tepung yang berpotensi dikomersialkan.

Norani berkata, produk baru yang dihasilkan daripada keledek kaya dengan beta-karoten dan antioksidan, tinggi fiber, kalori rendah, tanpa pengawet dan pewarna tiruan.

"Tepung keledek berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

"Ini merupakan sesuatu yang baru dalam pasaran, mempelbagaikan kegunaan keledek, menghasilkan pelbagai produk daripada tepung keledek," katanya semasa ditemui semasa pameran BioMalaysia 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, pelbagai produk berasaskan keledek berpotensi dikomersialkan kerana mempunyai pelbagai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang menjaga kesihatan.

"Tepung keledek merupakan produk baru dalam pasaran yang baik untuk menghasilkan adunan tepung dan hasil bakeri dan boleh dijadikan makanan kesihatan," katanya.

Norani berkata, kajian yang dijalankan mendapati tepung keledek mudah dihasilkan menggunakan bahan sedia ada.

Keledek yang dituai perlu dikupas kulit, potong dan dikeringkan pada suhu 158 darjah Celsius selama lapan jam.

Bahan berkenaan kemudian disejukkan pada suhu bilik selama dua jam sebelum dikisar dan kemudian diayak dan kemudian tambah dengan beberapa bahan lain.

"Tepung keledek tadi boleh menghasilkan beberapa produk lain seperti sos barbeku, produk pastri dan bakeri, sapuan keledek, lempeng dan fritter dan batters," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia