Jumaat, Februari 24, 2012

Bertani guna modal sendiri





Jika anda berkesempatan ke kawasan Sungai Besar atau Sekinchan, Selangor pastikan singgah membeli tembikai susu yang manisnya seumpama madu.
Kena dengan namanya, tembikai susu madu, tanaman tersebut diusahakan oleh dua sahabat iaitu seorang guru, Mohd. Sabri Harun dan petani sepenuh masa Mohd. Yaakob Nuri sejak empat tahun lepas.
Diusahakan di atas tanah seluas 0.6 hektar milik Mohd. Sabri, tanaman tembikai susu madu itu mampu memberi pulangan sehingga RM15,000 bagi setiap musim tuaian.
Menurut Mohd. Yaakob, projek tersebut baru saja dimulakan kerana sebelum itu mereka menanam pelbagai jenis tanaman lain seperti cili, jagung dan timun.
"Projek tembikai susu madu ini merupakan sebagainya daripada keseluruhan projek tanaman.
"Pulangannya agak lumayan. Namun, untuk penanam memerlukan pengalaman kerana ia agak rumit," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mohd. Yaakob sebelum ini pernah mengusahakan sawah padi. Namun jangka masa enam bulan yang diperlukan untuk padi mendatangkan hasil membolehkannya bertani bagi memenuhi masa senggang.
Minat itu dikongsi pula dengan rakannya, Mohd. Sabri yang bersetuju menggunakan tanahnya bagi tujuan tersebut.
Jelas Mohd. Yaakob, untuk menanam tembikai susu madu ia memerlukan tanah dan cuaca yang sesuai bagi mengelak penyakit.
"Waktu yang paling sesuai adalah selepas musim hujan dan penjagaan adalah seperti biasa iaitu menyembur racun kulat.
"Ini kerana kulat sering menyerang daun tembikai menjadikan tumbuhan tersebut mati sebelum ia cukup tua," katanya.
Namun, jika tanah dan cuaca yang sesuai ia boleh ditanam dan terus ditinggalkan sehingga berbuah dan dituai apabila sudah cukup tua.
Tembikai susu madu katanya, berbeza dengan tembikai susu biasa kerana kulit lebih kasar berbanding kebiasaan buah yang lain yang lebih licin.
Malah, isinya juga lebih manis berbanding tembikai madu biasa. Ada sesetengah pembeli sukar mempercayai kemanisannya. Jadi, musim menunai buah tembikai susu itu sering ditunggu-tunggu oleh pelanggan tetap.
Tanaman tembikai susu madu tersebut menurut Mohd. Yaakob tidak boleh ditanam pada tanah yang sama setiap musim.
Ujarnya, jika berbuat demikian tanaman tersebut tidak akan menjadi berikuta selepas proses penuaian akan meninggalkan sisa penyakit.
Justeru, ia perlu diselang-seli bersama tanaman lain. Sebab itu tembikai susu madu akan ditanam bergilir-gilir mengikut musim.
Bagi memenuhi permintaan, jelas Mohd. Yaakob tembikai susu madu tersebut ditanam secara berperingkat-peringkat pada tanah yang berkeluasan 1.2 hektar.
Setiap kali penanaman dilakukan, hanya 0.6 hektar keluasan tanah yang digunakan yang bermodalkan hanya RM4,000.
Mohd. Yaakob dan Mohd. Sabri sehingga kini hanya menggunakan modal pusingan sendiri untuk mengusahakan tanaman tersebut.
"Kami tidak membuat pinjaman kerana modal yang digunakan kecil kerana tanaman ditanam secara berperingkat," ujarnya.
Jelasnya lagi, dengan cara tersebut mereka tidak perlu menanggung hutang. Malah tanaman dapat dituai (tanam berperingkat) sepanjang masa.
Walaupun ia tidak begitu popular berbanding tembikai biasa, buah tembikai susu kini semakin diterima oleh orang ramai.
Ia kini ditanam untuk memenuhi permintaan tempatan di Malaysia dengan kemungkinan yang besar untuk eksport.
Bagi hasil yang telah dituai oleh Mohd. Sabri Harun dan Mohd. Yaakob Nuri akan diborong oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kedai buah-buahan dan penduduk sekitar Sekinchan.

sumber : utusan


Isnin, Februari 06, 2012

Tips tanam ubi keledek

UBI keledek yang ditanam secara meluas di negara ini boleh hidup subur dalam julat suhu 27 hingga 30 darjah Celsius dan kawasan dengan taburan hujan melebihi 100 sentimeter setahun. Ia juga sesuai di tanam di kawasan tanah lom berpasir dan tidak bertakung air dengan pH tanah yang sesuai adalah 4.5 hinga 7.0

Penanaman

Ubi keledek boleh hidup di pelbagai jenis tanah termasuk tanah yang kurang subur dengan pembajaan yang sesuai.

Saliran perlu untuk mengelak air bertakung dengan membina parit.
Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik- balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik.


Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
Batas perlu untuk tanaman ubi keledek dengan ketinggian 30 hingga 40 sentimeter (sm) dan lebar 60 sm.

Bahan dan jarak tanaman

Ubi keledek ditanam menggunakan keratan batang dan pucuk dari pokok yang sedang menjalar.
Panjang keratan lebih kurang 30 sm yang mana keratan dicucuk ke dalam tanah dan tinggalkan sebahagian pucuk di permukaan tanah.

Jarak antara pokok adalah 25 sm bergantung kepada jenis tanah dan varieti ubi keledek.

Pembajaan

Bagi tanah yang berasid, pengapuran perlu untuk menaikan pH.
Kadar pembajaan yang biasa adalah 70N:86P2O5:173K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.

Baja diberi selepas tiga atau empat minggu ubi keledek ditanam.

Pengawalan rumpai

Merumpai dijalankan semasa pokok membesar iaitu tiga minggu selepas ditanam dan sekali lagi mengikut keperluan.

Kawalan rumpai boleh secara manual atau menggunakan racun rumpai.


Kawalan perosak dan penyakit
  1. Musuh ubi keledek adalah seperti tikus, siput dan lain-lain.
  2. Serangga yang biasa menyerang adalah kumbang Cylas formicarius yang mana larvanya akan menyerang     pangkal pokok dan kumbang dewasa akan duduk melekat pada daun, akar dan batang.
  3. Penyakit akar hitam atau reput pangkal pokok disebabkan oleh Ceratosmella fimbriata.
  4. Kawalan secara amalan kultura yang baik dan membuang pokok-pokok yang diserang penyakit.

Pungutan hasil

  1. Hasil ubi keledek boleh dipungut antara empat hingga enam bulan selepas ditanam bergantung kepada jenis dan penjagaan.
  2. Ubi keledek boleh disimpan tetapi mestilah cukup tua dengan tempat penyimpanan yang mempunyai pengudaraan yang baik.
  3. Anggaran hasil adalah di antara 10 dan 15 tan/ha bergantung kepada penjagaan dan jenis ubi keledek. 

sumber : utusan malaysia