Ahad, Mac 18, 2012

Usahawan Ulam Raja


gambar dari google 


Tahukah anda yang Ulam Raja berasal dari Amerika Latin? Ulam Raja adalah salah satu dari lebih 120 jenis tumbuhan yang dikenalpasti sebagai ulam di Malaysia.

Sesungguhnya ulam-ulaman sentiasa mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia khususnya yang meminati masakan kampung.

Walau bagaimanapun tidak ramai pengusaha yang menanam dan mengedarkannya di pasaran berbanding sayur-sayuran komersial lain.

Keadaan ini adalah kerana secara amnya ulam hanya ditanam secara kecil-kecilan disekitar rumah untuk dimakan sendiri atau dipetik daripada yang tumbuh meliar.
Kekurangan pengusaha tanaman ulam-ulaman menyebabkan permintaan untuk ulam-ulaman tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

Permintaan yang tinggi berbanding bekalan yang kurang menyebabkan harga ulam-ulaman di pasaran Malaysia dianggap lebih stabil berbanding sayur-sayur yang lain.

Situasi ini yang dilihat sebagai peluang perusahaan yang bagus telah menyakinkan seorang anak muda untuk menceburi bidang perusahaan tanaman ulam-ulaman.

 “Seingat saya, sayur terung contohnya kekal harganya pada RM3 sekilogram sejak 10 tahun yang lalu”, terang Encik Abdul Haris bin Syamsulrizal dari Rawang, Selangor yang mengusahakan tanaman sayur ulam-ulaman.

Dibesarkan dalam keluarga yang berlatarbelakangkan pertanian, Encik Haris tidak pernah teragak-agak untuk menceburi bidang pertanian walaupun hanya berusia 24 tahun.
 
Anak kedua dari enam adik beradik ini memulakan usaha pertanian beliau secara serius pada tahun 2009 sekembali dari Jepun selepas menjalani latihan pengurusan pertanian selama setahun di bawah program Japan Agriculture Exchange Council (JAEC).

Encik Haris kini mengusahakan tanah pertanian seluas 12 ekar secara keseluruhannya di Rawang, Selangor dengan tanaman-tanaman utama seperti Daun Selom, Ulam Raja dan Daun Kesom yang mampu menjana hasil jualan sebanyak RM300 – RM400 sehari.
 
Encik Haris memulakan perusahaan beliau dengan modal sendiri yang dibantu seorang rakan dengan jumlah RM15,000. Baru-baru ini Encik Haris telah mendapat pinjaman sebanyak RM50,000 dari Agrobank cawangan Sungai Buloh melalui Skim Mikro ESP-i untuk penambahbaikan perusahaan beliau.

Encik Haris menggambarkan proses yang dilalui dengan Agrobank bagi mendapatkan pinjaman tersebut sebagai licin dan tidak bermasalah.

Hasrat untuk mendapatkan bantuan kewangan dari Agrobank telah Encik Haris fikirkan sejak berada di Jepun. “Agrobank ialah pilihan pertama yang terlintas dalam fikiran saya apabila memikirkan cara untuk mendapat suntikan modal bagi perusahaan pertanian saya sekembalinya di Malaysia” jelas Encik Haris.

Berbekalkan pengalaman yang diperolehi sejak dari kecil selain ilmu yang dituntut di Jepun, Encik Haris telah masak dengan aktiviti pertanian dan pasaran yang beliau ceburi walaupun pada usia yang muda. Membekalkan 80-150 kg daun selom setiap hari ke Pasar Chow Kit, Encik Haris menjadi antara pembekal utama ulam tersebut.

Beliau mengatakan permintaan bagi ulam-ulaman paling tinggi apabila tiba bulan puasa di mana peningkatan permintaan boleh mencecah sehingga 3 kali ganda. Namun bekalan di pasaran biasanya tidak mencukupi tambah Encik Haris.

Buat masa ini, selain membekalkan hasil perusahaan beliau ke pasar-pasar borong, Encik Haris turut membekal kepada hypermarket seperti Giant.

Beliau berharap untuk berjaya menembusi pasaran beberapa hypermarket lain bagi memasarkan hasil perusahaan beliau dalam masa terdekat.
 
Dengan pekerja seramai 3 orang selain dibantu oleh bapa dan abang beliau, Encik Haris mengusahakan ladangnya yang seluas 12 ekar dengan menanam pelbagai jenis sayuran kampung. Encik Haris juga bercadang untuk menambah seorang lagi pekerja di ladang beliau bagi penambahbaikan perusahaan.

Antara teknologi yang diaplikasikan di ladang Encik Haris ialah sistem paip yang diubahsuai sendiri oleh Encik Haris menjadikannya lebih efektif berbanding biasa.
Cabaran yang terhebat bagi seorang belia yang menceburi bidang pertanian seperti Encik Haris adalah pandangan masyarakat kepada beliau.

Beliau merasa ramai pihak dalam masyarakat yang masih berpandangan stereotaip dan negatif kepada anak muda yang menceburi bidang pertanian seperti beliau.

Walaupun beliau berpanas ketika belia-belia lain berada dalam keadaan lebih selesa, Encik Haris berpegang teguh kepada kata-kata salah seorang guru beliau ketika di Jepun yang menyatakan “muda itu sebentar, tua itu lama” yang membawa maksud agar usia muda tidak disia-siakan kerana masanya yang singkat berbanding usia tua yang lama.

Dengan prinsip ‘gambatte kudasai’ yang juga beliau pelajari di Jepun yang bermaksud ‘buat yang terbaik’ Encik Haris bercita-cita untuk terus berjaya dan seterusnya membesarkan perniagaan beliau sementara masih muda.
 


Cabaran hebat lain yang pernah dihadapi Encik Haris ialah serangan ‘White Fly’ yang merosakkan tanam-tanaman beliau. Beliau juga pernah kerugian RM20,000 kerana tanaman terung seluas 1 ekar diserang penyakit.

Tetapi Encik Haris tidak pernah putus asa kerana percaya untung-rugi adalah adat perniagaan. Dari segi persaingan, beliau menyatakan bahawa cabaran dalam pasaran masih lagi dianggap tidak wujud dalam pembekalan ulam-ulaman atau sayur kampung berbanding dengan sayuran moden.

Beliau menasihatkan belia-belia lain untuk turut menceburi bidang pertanian kerana pada pandangan dan melalui pengalaman beliau, pertanian ialah satu perusahaan yang lumayan dan mempunyai prospek yang besar di masa hadapan. 

Encik Haris merupakan salah satu contoh terbaik yang membuktikan belia mampu berjaya dalam pertanian dan pertanian mampu menjana keuntungan yang lumayan.

sumber : moa.gov