KESEMUA koleksi pokok herba di taman ini dihias dengan bahan-bahan terpakai seperti tayar dan kayu-kayu lama.
ANDA mungkin terkejut apabila mendapat tahu tumbuhan hiasan yang
selama ini ditanam di kawasan rumah sebenarnya adalah pokok herba yang
kaya dengan pelbagai khasiat.
Itu antara respons daripada para pengunjung Taman Koleksi Herba yang
merupakan tarikan terbaru di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA).
Mula dibuka sejak awal tahun 2011, taman herba tersebut kini mempunyai lebih 130 koleksi tumbuhan herba tempatan.
Menurut Ketua Unit Teknologi Pertanian TBNSA, Muhammad Ajis Muhammad,
kesemua pokok herba itu diperolehi hasil usaha pencarian yang
dijalankannya kawasan hutan berhampiran.
''Ketika dilantik menerajui jawatan ini dahulu, saya tidak mempunyai
sebarang perancangan projek khusus sehingga timbul idea untuk
membangunkan taman ini.
''Selain mencari sendiri sumber pokok herba, ada juga pengunjung
taman yang terdiri daripada bidan, bomoh serta pengamal perubatan Cina
turut memberi sumbangan baka tumbuhan dan berkongsi maklumat tentang
spesies-spesies yang mereka kenali.
''Untuk memberi kefahaman kepada pengunjung pula, setiap spesies
pokok herba ini tersedia bersama paparan penerangan nama saintifik, nama
panggilan, khasiat kesihatan serta teknik penyediaan,'' katanya ketika
ditemui di taman tersebut baru-baru ini.
Antara jenis herba yang ditanam adalah seperti Kucing Galak, Belalai
Gajah, Tenggek Burung, Terung Pipit, Selasih Hitam, Putarwali, Haba
Neraka, Gandarusa Hitam, Hempedu Bumi dan Sambung Nyawa.
Muhammad Ajis memberitahu, pembangunan taman seluas satu ekar itu
sebenarnya bermatlamat mendokumenkan semua informasi berkaitan herba
secara lebih teratur.
Ini kerana, orang dahulu memang mempunyai banyak pengetahuan dan
maklumat mengenai tumbuhan herba tetapi mereka tidak merekodkannya.
''Kita ingin memberitahu masyarakat bahawa Malaysia mempunyai banyak
sumber herba yang boleh digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit,''
jelasnya.
Daripada segi susunan landskap, pokok-pokok herba berkenaan ditanam
dalam barisan secara memanjang dengan dipisahkan oleh laluan pengunjung.
Sesuatu yang menarik perhatian, kesemua hiasan pada taman berkenaan
di bina daripada bahan terbuang seperti kayu-kayu terpakai, pasu dan
tayar lama.
Untuk tujuan penyiraman tanaman pula, Muhammad Ajis telah mencipta
sistem paip automatik yang akan menyiram setiap 30 minit dengan
penggunaan kuasa paling rendah.
Kos penyelenggaraan juga menjadi minimum apabila dia hanya
menggunakan najis kuda daripada taman haiwan berhampiran untuk tujuan
pembajaan dan tidak menggunakan baja kimia.
''Di Malaysia, saya telah mengenalpasti lebih 700 spesies tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat kesihatan.
''Jadi, menjelang penghujung tahun ini, saya bercadang untuk menanam
kesemua spesies tersebut di taman ini dengan keluasan maksimum sehingga
enam hektar,'' ujarnya yang dibantu oleh tiga orang kakitangan.
Bagi mendapatkan kepastian mengenai setiap nama dan khasiat spesies
tertentu, Muhammad Ajis ada bekerjasama dengan pihak Jabatan Pertanian
serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
selain membuat rujukan daripada buku-buku dan juga Internet.
Selain maklumat, dia turut mempelajari tentang teknik penanaman dan
penjagaan pokok-pokok tersebut supaya dapat membiak dengan lebih
sempurna.
Di samping pengunjung biasa, taman itu turut dilawati oleh para pelajar universiti dan organisasi yang ingin membuat kajian.
''Di sini, kita tidak menjual baka pokok herba kepada pengunjung
sebaliknya aktiviti pembiakan ini lebih bermatlamat memberi pendedahan
maklumat kepada para pengunjung dan juga penyelidik,'' katanya.
Pada masa hadapan, dia bercadang untuk mempelbagaikan lagi tanaman di
kawasan sekitar taman tersebut melibatkan tumbuhan fertigasi seperti
anggur dan juga cendawan.
sumber : utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan