Sabtu, Februari 28, 2009

Info tanaman serai

serai%20makan1

SERAI MAKAN
Nama Botani : Cymbopogen citratus (DC.) Stapf.
Nama lain : Sereh makan (Indonesia), Takrai (Thailand) Lemongrass (Inggeris)
Famili : Graminae

Pengenalan
Tanaman serai makan (Cymbopogen citratus) dilaporkan berasal dari Sri Lanka dan telah tersebar luas di kawasan Tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China. Di Malaysia khususnya, serai makan banyak di tanam sebagai tanaman dapur. Batangnya dituai untuk kegunaan segar sebagai perisa dalam masakan. Serai makan ialah sejenis tanaman rumput yang beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Pada setiap rumpun terdapat banyak batang yang tumbuh daripada rizom. Batangnya berwarna putih keunguan atau kemerahan. Daunnya tirus, melampai, panjangnya 60−100 cm dan lebar 1.0−1.5 cm. Ia berwarna hijau muda, kesat dengan urat yang selari. Serai makan jarang didapati berbunga di Malaysia.

Khasiat dan Kegunaan
Di Malaysia, serai makan terutama batangnya digunakan sebagai bahan perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tomyam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas. Aroma dan rasanya yang unik dapat menambahkan keenakan masakan dan meningkatkan selera. Di sesetengah negara, serai makan diusahakan khas untuk pengeluaran minyak pati. Minyak pati serai makan berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan berbau limau atau `lemon’. Minyak ini terdiri daripada beberapa sebatian dan kandungan utamanya ialah sitral iaitu sejenis aldehide. Peratusan sitral dalam minyak pati serai makan adalah antara 65% hingga 85%. Sebatian-sebatian lain yang menpunyai lebih rendah peratusannya termasuklah linalol, geraniol, citronellal, citronellol, farnesol, farnesal, limonene dan nerol.Minyak pati serai makan diguna sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain.. Walau bagaimanapun sebahagian besar daripadanya digunakan untuk mendapatkan sitral (secara isolasi fizikal) dan ionones (secara tindak balas kimia terhadap sitral).


SERAIWANGI

SERAI WANGI
Nama Botani : Cymbopogon nardus (L.) rendle
Nama lain : Sereh wangi (Indonesia), Citronella (Inggeris)
Famili : Graminae

Pengenalan
Tanaman Serai Wangi (Cymbopogon nardus) dipercayai berasal sama ada dari Selatan India atau Sri Lanka. Serai Wangi juga tumbuh liar di kebanyakan negara di Asia Tropika, Amerika dan Afrika. Di Malaysia, serai wangi biasanya ditanam di halaman rumah sebagai tanaman dapur dan kebelakangan ini terdapat beberapa pengusaha yang berminat untuk menanam serai wangi bagi menghasilkan minyak patinya. Serai wangi ialah sejenis tanaman rumput yang tinggi dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Ia boleh tumbuh sehingga 1.0–1.5 m. Daunnya bersifat tirus, panjang sehingga 70 – 80 cm dan 2 – 5 cm lebar. Ia berwarna hijau muda, kasar dengan urat yang selari dan mempunyai aroma yang lebih kuat jika dibandingkan dengan serai makan. Serai wangi jarang berbunga dan hanya berbunga bila sudah cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi 8 bulan.

Khasiat dan Kegunaan
Dari segi ubatan tradisional serai wangi digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusannya sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Ia juga banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan serangga dan kembung perut. Bagaimanapun di kebanyakan negara serai wangi ditanam khas untuk pengeluaran minyak patinya. Serai wangi menghasilkan minyak pati yang dikenali sebagai `citronella oil’ di pasaran antarabangsa. Minyak sitronela mengandungi dua bahan kimia penting iaitu sitronelal dan geraniol. Sitronelal dan geraniol amnya digunakan untuk bahan dasar pembuatan ester-ester seperti hidroksi sitronelal, genaniol asetat dan mentol sintetik yang mempunyai sifat lebih stabil dan banyak digunakan dalam industri wangi-wangian. Hidroksi sitronelal penting untuk sabun dan minyak wangi yang berharga tinggi, manakala mentol untuk bahan dasar ubat batuk, ubat gigi dan pencuci mulut. 2 bahan penting dalam industri... Caryophyllene & citronellol


Tiada ulasan:

Catat Ulasan